MUIR, Watt, Puin, Crone, Schlatt, Goldziher dan orientalis lain pastinya tersenyum girang. Banyak petanda menunjukkan usaha keras dan jarum halus mereka untuk menundukkan dunia Islam dengan mencabar kesahihannya sebagai agama wahyu dan mencelarukan pemikiran umatnya, sudah membuahkan hasil.
Paling besar makna dan memuaskan mereka ialah kejayaan mempengaruhi pemikiran umat Islam. Jangan terkejut jika golongan yang terpengaruh ini tidak terhad kepada mereka yang agak kebaratan atau tipis semangat keislamannya saja, malah mereka juga datang daripada kalangan yang mendakwa dan didakwa pejuang Islam atau Islamik. Kelompok yang dianggap tinggi ilmu agama, juga tidak terkecuali.
Penulis S Parvez Manzoor, dalam bukunya Method Against Truth: Orientalism and Quranic Studies, menghujah, pengkajian orientalis Barat ke atas al-Quran biar apa pun manfaatnya, lahir daripada kebencian yang dipupuk dalam kekecewaan dan disuburi dengan kesumat.
Trofi hakiki yang dikejar mereka, menurutnya adalah penguasaan terhadap minda Muslim. Barat percaya untuk menyelesaikan masalah ancaman Islam, penganut agama Allah hendaklah dikecewakan berhubung ketentuan risalah Islam seperti yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Hanya Muslim yang keliru dengan kesahihan dan autonomi doktrin al-Quran akan mengabaikan misi sejagatnya dan dengan itu tidak mencabar dominasi global Barat.
Perbuatan khianat orientalis Barat terhadap agama dan penganut Islam turut ditonjolkan oleh penulis berbangsa Swiss, Roger Du Pasquier dalam bukunya Unveiling Islam. Beliau percaya kajian orientalis Barat tidak bersandarkan semangat keadilan kesarjanaan yang tulen dan seringkali berniat untuk meremehkan Islam. Walaupun atas sebab yang jelas kecenderungan ini memuncak pada zaman penjajah, katanya, adalah suatu kesilapan jika dianggap ia sudah lenyap tanpa sebarang tanda.
Sebagai pengukur pencapaian orientalis, lihat saja bagaimana kelompok Islam sendiri kini begitu terpengaruh sehingga ketika berfikir secara sedar atau separa sedar, mengikut kaca mata pelbagai musuh Islam. Paling ketara, proses pemikiran mereka sudah diwarnai pelbagai konsep yang direka dan disebarluaskan oleh golongan bukan Islam.
Antara contoh yang paling menonjol ialah isu sekularisme yang menjadi punca perbalahan besar dan polemik berpanjangan di kalangan umat, termasuk di Malaysia. Sejarah menunjukkan sekularisme adalah antara senjata yang diperalatkan oleh orientalis untuk melemahkan umat Islam. Melalui pendekatan ini, pegangan dan penghayatan penganut Islam menjadi longgar lantas mengakibatkan terhakisnya raison d’etre masyarakat Muslim.
Sekularisme lazimnya diertikan sebagai pemisahan antara urusan agama dengan kehidupan duniawi. Menurut Kamus Dewan, sekularisme membawa maksud berkaitan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan keagamaan.
Dari segi filologinya, perkataan secular berasal daripada bahasa Latin, saeculum yang membawa maksud dunia atau dalam lingkungan masa kini. Jika ditelusuri perkembangan sejarahnya, fahaman sekularisme dikembangkan dengan pemikiran rasionalisme zaman Greek, nilai madani dan kemasyarakatan zaman Greco-Roman, zaman Reformasi, Renaissance, Kalvinisme dan falsafah moral dan empirikal fahaman Enlightenment.
Pada peringkat awalnya, konsep sekularisme banyak dipengaruhi ahli falsafah Greek, khususnya Aristotle, yang mendakwa tuhan tidak mengetahui hal ehwal dunia dan tidak mengawalnya. Will Durant mengembangkan pemikiran ini dengan konsep tuhan yang tidak berupaya.
Sekularisme muncul dan diguna pakai dalam dunia Kristian, sebahagiannya sebagai pemberontakan terhadap autokrasi atau teokrasi kelompok paderi zaman Jahiliah Eropah (European Dark Ages). Berkebetulan, pemikir Eropah mula terpengaruh dengan fahaman rasionalisme. Antara pemikir handalan dalam golongan ini ialah Thomas Paine dengan nukilannya yang berpengaruh, The Age of Reason.
Selepas berjaya menundukkan kelompok paderi dan gereja kristian, fahaman sekularisme mengalami perubahan wajah. Pada abad ke-18, ia didominasi oleh pemikir berfahaman ateis dan agnostic; kelompok pertama menolak sama sekali sebarang fungsi agama dalam urusan kehidupan kerana mereka menafikan konsep ketuhanan itu sendiri; manakala golongan kedua semata-mata mementingkan pencapaian duniawi adalah dalam kawalan manusia.
Pada abad ke-19 dan ke-20, pertembungan berlaku pula antara versi liberal humanisme dengan sosialisme-komunisme. Dengan berakhirnya blok sosialis pada akhir abad ke-20, fahaman liberal humanisme kini unggul dengan dimanifestasikan menerusi dwitunjangnya: kapitalisme pasaran bebas dan demokrasi liberal. Futuris Amerika, Francis Fukuyama adalah antara pemikir yang mendahului fahaman ini.
Jelaslah, sekularisme dari awal kemunculannya sehingga variasi yang mendominasi wacana intelektual kini, adalah binaan ideologi (ideological construct) oleh Barat. Sejarah imperialisme Barat yang bukan sedikit dibantu oleh orientalis yang sesetengahnya juga adalah mubaligh Kristian, jelas menunjukkan sekularisme cukup berkesan sebagai senjata untuk memecahbelahkan ummah.
Oleh kerana sumber konsep ini bukan Islam, tentunya asas pertimbangannya juga tidak bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Justeru, amat berbahaya jika konsep yang jelas begitu asing daripada Islam diguna pakai oleh pejuang Islam untuk menilai dan menghukum pemerintah Islam. Lebih-lebih lagi di Malaysia, penilaian secara rasional terhadap pemerintahan negara mengikut syariat Islam menampilkan rekod yang boleh dipertahankan. Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki, negara yang secara terang-terangan mengamalkan dasar mengawal fungsi agama dalam kehidupan awam selepas keruntuhan empayar Othmaniah pada awal kurun lalu.
Anggapan sekularisme bertentangan dengan Islam tidak perlu diragui lagi: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56) dan “Katakan (wahai Muhammad): Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?” (surah al-Baqarah, ayat 140). Selain itu, banyak lagi firman Allah swt yang menunjukkan sekularisme bercanggah sama sekali dengan Islam.
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya “Al-Hulul al-Mustawradah wa Kayfa Jaat “alaa Ummatina” (Bagaimana penyelesaian yang Diimport Menjejaskan Ummah Dengan Teruk) menyatakan: “Sekularisme mungkin diterima dalam masyarakat Islam. Kepada masyarakat Muslim, Islam ialah sistem pengabdian (ibadah) dan perundangan (syariah). Penerimaan sekularisme bermakna meninggalkan syariah, penafian petunjuk suci dan penolakan ajaran Allah.”
Di Malaysia, ada asas yang boleh dibina ke arah mengharmonikan segala perundangan dengan tuntutan syariah. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memaktubkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, adalah bukti pertama pemerintahan negara ini memartabatkan agama Allah. Peruntukan ini mewajarkan Islam dijadikan asas dan panduan, dalam semua cabang pentadbiran negara, sama ada perundangan, pertahanan, pendidikan, kewangan dan hubungan luar.
Dalam bidang perundangan, hendaklah diterima hakikat sejarah bahawa penjajah meninggalkan legasi perundangan sivil yang terpisah daripada sistem syariah. Maka pelaksanaan perundangan Islam terpaksa dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan.
Di pentas global, Islam dengan jelas banyak mempengaruhi dasar dan pendirian Kerajaan Malaysia dalam menangani cabaran yang dilontarkan oleh perkembangan utama dunia, seperti globalisasi, ekonomi pasaran bebas, demokrasi liberal dan hak asasi manusia. Nilai-nilai Islam ternyata mencorakkan pendekatan negara ini, terutama menangani berkaitan gagasan yang kufur dan tidak Islamik.
Zaid Shakir dalam makalahnya, The Changing Face of Secularism and the Islamic Response, menyatakan keunggulan versi liberal fahaman sekularisme sudah memastikan etika bermotifkan keuntungan kini menggantikan etika peninggalan Rasul-rasul dalam dunia niaga. Malah, beliau berpendapat keserakahan mengejar laba adalah rasional bagi beberapa peruntukan yang menindas dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Tarif dan Cukai (GATT) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Antara lain, ini akan membenarkan firma gergasi transnasional untuk mengisytiharkan sebarang penentangan, bagaimanapun berprinsip, terhadap proses itu sebagai halangan perdagangan.
Hal yang sama berlaku dalam hak asasi manusia. Prof Shad Faruqi, pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), berpandangan konsep yang mahu dipaksa oleh Barat ke atas masyarakat lain banyak bertentangan dengan Islam. Antaranya, hak individu berbanding hak masyarakat dan keluarga. Di Barat, seseorang individu bebas untuk mewasiatkan harta kepada sesiapa, hatta binatang peliharaannya, tetapi dalam hukum faraid, harta peninggalan hendaklah dibahagikan kepada waris terdekat mengikut kadar yang ditetapkan.
Walaupun banyak lagi contoh yang ketara berhubung pertembungan nilai Islam dan Barat dalam konsep hak asasi, malangnya, sebilangan umat Islam turut terkeliru dengan konsep yang pada permukaan kelihatan wajar. Hak asasi, demokrasi, globalisasi, liberalisasi, semuanya gah dengan konotasi keadilan, kebebasan dan kesamarataan. Apakah ini benar?
Hakikatnya, jarum musuh Islam sudah begitu menular sehingga umat kehilangan keyakinan diri dan keaslian pemikiran. Paling menakutkan, golongan yang dianggap bersemangat Islam juga secara tidak sedar menjadi alat kepada golongan orientalis dan musuh Islam.
Buktinya, mereka terpaksa bersandarkan idea musuh Islam dalam ketandusan dan kecelaruan pemikiran sendiri. Keadaan ini tentunya cukup malang kerana dewasa ini pertembungan antara agama amnya dan Islam khasnya dengan sekularisme sudah kembali. Sebilangan intelektual Barat sendiri, termasuk Ernest Gellner, mengakui dalam polemik ini Islam adalah pembawa panji-panji untuk golongan yang mempercayai agama. Ini berasaskan hakikat Islam adalah agama yang benar dan normatif yang terakhir.
Isnin, 17 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
1 ulasan:
Menarik. Salam ziarah
Catat Ulasan