Zaman dahulu dan zaman sekarang sudah jauh berbeza. Antaranya, zaman sekarang:
1. Alat-alat kehidupan sudah canggih.
2. Cara proses makanan sudah berlainan.
3. Ilmu dunianya banyak tapi ilmu Akhiratnya kurang.
4. Pergaulan di kalangan manusia mudah terjadi.
5. Cara jual beli sudah berbeza.
6. Alat-alat perhubungan mendekatkan negara dan manusia di antara satu sama lain.
7. Kebudayaan dan adat istiadat telah bercampur baur.
8. Banyak persatuan.
9. Ada pertubuhan dunia.
10. Ada bank .
11. Ada border antara negara dengan negara.
12. Alat-alat pembunuh dahsyat.
13. Kehidupan orang biasa macam raja-raja di zaman dahulu.
14. Orang kafir, munafik, fasik memperkatakan Islam bahkan mengajarnya.
Untuk lebih terperinci lagi mari kita huraikan satu persatu supaya lebih jelas.
1 . Alat kehidupannya canggih.
Sekarang tidak sama dengan dulu. Sekarang lebih canggih. Ada washing machine, peti ais, mixer, microwaves, blender, pinggan mangkuk arcopal, arcoroc dan sebagainya, cerek letrik, rice cooker, dunlop pillow, dapur gas atau elektrik, air paip, pemotong elektrik dan lain-lain.Dulu secara semula jadi. Uli tepung pakai tangan, basuh baju guna tangan, guna air di perigi, api pelita, menumbuk dengan batu lesung, dulang tembaga, periuk tanah, potong kayu menggunakan gergaji tangan, kapak, pahat dan alat ketam kayu. Memasak menggunakan dapur kayu atau dapur arang. Menumbuk padi menggunakan lesung dan alu. Membajak di ladang pula gunakan kerbau. Tandas sama ada di sungai atau di dalam semak. Ada juga menggunakan tandas yang dikorek lubang seperti perigi dan lain-lain.
2. Sekarang ilmu dunianya banyak, ilmu Akhiratnya kurang.
Dulu ilmu dunia terbatas tapi ilmu Akhirat banyak. Contohnya ilmu tauhid, feqah, tasawuf dan lain-lain. Banyak kitabkitab dan ramai alim ulama. Sekarang ilmu Akhirat kurang tapi ilmu dunianya tidak terbatas. Setiap hari ada saja ilmu-ilmu terbaru, penemuan terbaru seperti ilmu-ilmu di bidang-bidang ekonomi, pertanian, perubatan, sains teknologi, ilmu tentang komputer dan lain-lain. Semuanya sedang berkembang dengan pesat.
3. Cara proses makanan, minuman dan pakaian sudah berlainan daripada dulu.
Dahulu dan sekarang mungkin memang perkaranya sama iaitu benda dan jenisnya tetap sama tetapi mungkin hakikat perkara itu sudah berlainan. Ini disebabkan oleh cara memproses, membuat, memperagakan, mempromosi atau menjualnya sudah berlainan.
Contohnya:
i. Arak, namanya tetap sama. Tetapi arak sekarang tidak sama dengan arak dulu dari segi cara memprosesnya.
ii. Sutera, nama tetap sama. Tetapi sekarang, ada kain sutera sintetik yang telah disintesiskan daripada bahan-bahan yang dicampurkan antara sutera dan bahan-bahan kimia yang lain.
iii. Dulu memproses pakaian secara handcraft tapi sekarang menggunakan alat yang canggih.
iv. Fesyen pakaian dulu dan sekarang juga berbeza. Hari ini banyak bahan-bahan pakaian sudah tidak pasti dari apa jenisnya.
4. Alat-alat perhubungan mendekatkan negara dengan negara dan manusia satu sama lain.
Dulu kenderaannya hanya kuda, unta, baghal, kereta lembu. Sekarang menggunakan keretapi, komuter, bullet train, kereta, bas, kapal, bot laju, kapal terbang dan lain-lain. Perhubungan jalan raya sangat meluas sekarang. Terhubung antara negara dengan negara dan benua dengan benua, jalan kereta api bawah tanah dan sebagainya. Alat-alat perhubungannya canggih. Contohnya, telefon, interkom, tv, komputer, internet dan lain-lain.
5. Pergaulan di kalangan manusia mudah terjadi.
Dulu sangat terhad, pergaulan di kalangan manusia dalam kelompoknya saja. Sekarang ini di peringkat internasional,boleh mengenal manusia berbagai-bagai bangsa dengan macam-macam alat kemudahan yang ada seperti telefon, tv, internet, surat, aerogram, sms, e-mail, media massa, surat khabar, majalah dan lain-lain.
6. Kebudayaan atau adat istiadat sudah bercampur baur.
Dulu ada budaya asli yang tersendiri bagi satu-satu kaum itu. Sekarang budaya sudah bercampur baur, tidak pure lagi. Contohnya, Sekarang ada budaya yang telah dicampuradukkan dengan budaya Barat, India, Pakistan dan sebagainya.
7. Banyak persatuan.
Dulu persatuan berlaku atas dasar hubungan darah daging. Contohnya Bani Quraisy, Bani Umaiyyah dan sebagainya. Kelompok ini berlaku secara nature. Lahir-lahir saja memang berada dalam kelompok itu. Sekarang persatuan berasaskan kepada bukan hubungan darah sahaja bahkan kadang-kadang hubungan kelompok itu berasaskan kebudayaan, ekonomi, politik, kebajikan dan lain-lain. Ikut parti, ideologi, profesyen dan sebagainya. Contohnya: NGO, GAPENA, APEC, IPEC, PAPITA dan sebagainya. Bahkan kadang-kadang hubungan kelompok ini lebih kuat daripada hubungan darah.
8. Ada pertubuhan dunia.
Dulu tidak ada yang bercorak dunia atau peringkat antarabangsa. Sekarang ada, contohnya PBB, OPEC, NATO, UN.
9. Ada bank atau institusi kewangan.
Dulu tidak ada bank. Orang kaya yang jadi bank. Kalau dia orang Islam yang baik, jadilah dia bank kepada masyarakat. Kalau orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak ada jiwa Islam, dia akan jadi ceti. Sekarang, bank dijadikan tempat pinjaman yang mana mempunyai syarat-syarat, ada penjamin atau cagaran, ada deposit, mesti tanda tangan macam-macam borang dan lain-lain.
10. Ada sempadan atau border.
Dulu ada negara-negara tertentu seperti Rom, Farsi dan sebagainya. Tetapi tidak ada border antara negara-negara. Tidak perlu menggunakan pasport untuk memasuki manamana negara. Sekarang ada border, ada kastam, ada imigresen, ada visa, ada pasport dan sebagainya.
11. Alat-alat pembunuh dahsyat
Dulu seorang yang ada satu alat senjata boleh bunuh seorang atau dua sahaja. Sekarang menggunakan alat-alat pembunuh yang canggih yang bermacam-macam jenis seperti nuklear, bom atom, jet-jet peluru berpandu dan lain-lain.Ada yang boleh bunuh dari udara, laut, bawah tanah, dari benua ke benua dan sebagainya. Risikonya menyebabkan ramai manusia binasa, memusnahkan bangunan-bangunan, pokok-pokok, harta benda, merosakkan alat-alat perhubungan dan lain-lain.
12. Kehidupan orang biasa sekarang macam raja-raja zaman dahulu.
Kehidupan dulu, raja-raja dikipas. Sekarang rakyat biasa pun merasainya. Petik suis, ada kipas angin, air condition dan lain-lain. Begitulah seterusnya.
13 . Orang kafir, munafik, fasik, memperkatakan Islam bahkan mengajarnya.
Dulu orang yang memperkatakan Islam ini tentulah orang Islam saja. Tapi sekarang, orang yang memperkatakan Islam boleh jadi orang kafir, munafik, fasik, orientalis dan lain-lain. Bahkan mengajar atau jadi pensyarah di universiti-universiti orang Islam di seluruh dunia. Lepasan pengajian Islam kini mendapat ijazah di tangantangan mereka.
14. Cara jual beli atau perniagaan berbeza.
Dahulu secara barter trade, yakni pertukaran barang dengan barang. Kemudian gunakan duit emas, perak. Duit itu memang bernilai. Sekarang duit kertas, kad kredit. Duit itu diberi nilai, bukan duit itu benar-benar bernilai. Ada sistem banking dan sebagainya.
Kalau diperhatikan contoh-contoh tadi, didapati ratusan lagi perbezaan yang nyata antara zaman kita dengan zaman Rasulullah. Sebab itu para pejuang mesti bertindak dengan style yang baru atau cara yang baru berdasarkan perbezaan tadi.
Sebagai alternatifnya, apakah yang umat Islam patut lakukan?
Di antara perkara-perkara yang patut dilakukan ialah:
Pertama :
Dua golongan mesti aktif di tengah kehidupan.
a. Golongan rohani mereka mesti aktif untuk membina atau membangunkan insaniah agar dapat melahirkan manusia yang bertaqwa. b. Golongan teknokrat Selain mereka mesti bertaqwa, mereka mesti aktif membangunkan kemajuan teknikal, teknologi yang tinggi supaya alat kemudahan kehidupan canggih. Ini menjadikan manusia ini selain daripada beriman, berakhlak, bertaqwa, kehidupan mesti canggih dan berteknologi tinggi. Kalau golongan teknokrat saja yang aktif, bijak membuat teknologi tinggi dan sebagainya, semuanya akan jadi sia-sia sebab manusia akan jadi sesat dan fasik tanpa taqwa. Bila umat Islam beriman dan canggih, mudahlah untuk dia menyeru manusia lain. Orang akan hormat dan menerima seruannya.
Kedua :
Dalam memberi fatwa memerlukan dua golongan:
a. Ahli atau pakar hukum
b. Ahli atau pakar sains dan teknologi
Mesti digabungkan pandangan dua golongan ini. Setiap fatwa mesti dinilai yang pertama oleh pakar hukum, kalau boleh bertaraf mujtahidin. Mesti tahu cabang-cabang ilmu Islam yang asas atau furuk, halal atau haram dan sebagainya. Bila dia hendak keluarkan hukum, tidak boleh berdasarkan ilmunya saja. Dia mesti meminta pandangan daripada ahli sains. Mereka saja yang faham perkara-perkara yang hendak dihukum itu dengan tepat setelah dua pandangan itu digabungkan dan diambilkira, barulah hukum yang diputuskan itu tepat halal haramnya.
Contohnya:
i. Arak haram. Nasnya ada. Arak benda yang memabukkan, haram hukumnya. Tapi sekarang ahli sains mengatakan ada alkohol yang tidak memabukkan, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dan sebagainya. Jadi ini semua kena diambil kira oleh pakar hukum. Kalau tidak, mungkin dia akan mengharamkan sesuatu perkara yang tidak haram.
ii. Sutera. Asal haram untuk orang lelaki. Tetapi sekarang ada kain sutera sintetik yang telah disintesiskan daripada bahanbahan yang sudah dicampurkan antara bahan-bahan sutera dengan bahan-bahan kimia yang lain. Dari segi komposisinya sudah berubah. Jadi ulama perlu mengkaji semula dengan mengambil kira pandangan ahli sains untuk menjatuhkan sesuatu fatwa itu.
Ketiga :
Manusia sekarang sangat memburu dunia dan melupakan Akhirat. Perlu ada orang-orang Akhirat yang mempunyai banyak dunia:
a. supaya dia boleh mengingatkan orang itu
b. supaya orang Akhirat yang berjuang ini boleh mencabar orang-orang dunia.
Keempat:
Perempuan-perempuan sekarang bebas kerana memburu dunia. Mereka rasa itulah kemerdekaan, itulah kebahagiaan dan kebaikan. Dengan kebebasan itu mudah mereka itu dapat dunia. Kalau disekat kebebasan mereka di rumah, dirasakan hilang bahagia, hilang kemerdekaan, dunia yang diburu tidak dapat. Untuk membebaskan mereka ini diperlukan perempuan mukmin yang berjaya dalam kerjaya di tengah masyarakat tapi dapat mempertahankan syariat dan maruah mereka sebagai perempuan mukmin.
Kelima :
Memerlukan pejuang-pejuang dan mubaligh-mubaligh yang berada agar tidak bersandar hidup dengan orang lain. Agar bebas bercakap dan orang hormati. Kalau berada atau kaya secara individu pun boleh, lebih-lebih lagi secara jemaah.
Hikmahnya:
a. Supaya tidak terasa terhutang budi dengan orang yang ditarik atau orang yang diseru.
b. Supaya tidak hilang maruah, himmah atau ‘izzah sebagai penegak kebenaran.
c. Supaya dapat berkhidmat kepada masyarakat bukan untuk dapat duit atau komersial, bukan masyarakat yang berkhidmat kepada kita dan lain-lain.
Keenam :
Memerlukan jemaah contoh atau model. Di zaman Rasulullah SAW dan para Sahabat umumnya salafussoleh selama 300 tahun mereka telah berjaya melahirkan model kehidupan Islam. Waktu mereka bercakap tentang Islam, masyarakat Islam sudah tertegak. Tapi sekarang ketika suasana Islam sudah tiada, perlu diwujudkan model oleh sebuah jemaah Islam supaya masyarakat dapat melihat apa yang diperkatakan itu dalam bentuk realiti.
Ketujuh :
Memerlukan media massa dan alat-alat perhubungan yang canggih untuk cepat menyampaikan berita atau matlamat atau ilmu atau propaganda musuh kerana:
a. Dengan adanya media massa yang canggih, maklumat-maklumat, berita-berita, minda-minda Islam dapat disampaikan dengan tepat dan cepat ke seluruh dunia sesuai dengan kelengkapan yang ada sekarang. Kalau ini tidak digunakan, orang lain akan lebih cepat menyampaikan kejahatan dan kebatilan.
b. Zaman sekarang jangkauannya luas. Kita kena gunakan semua kelengkapan itu. Jika tidak kita akan kalah dalam perang dingin, perang fikiran, perang saraf atau perang psikologi. Segala jenis peperangan ini semuanya menggunakan alat-alat yang canggih.
c. Supaya tidak dipermain-mainkan.
d. Supaya tidak dapat disabotaj.
e. Supaya tidak bersandar dengan mereka.
f. Supaya umat Islam tidak dapat dikawal kehidupannya oleh orang bukan Islam tapi boleh mengawal kehidupan mereka sendiri.
Isnin, 17 November 2008
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan