Selasa, 25 November 2008
SEKULARISME DI MALAYSIA: SUATU CATATAN
Fahaman sekular adalah merujuk kepada perkataan Latin iaitu saeculum yang bererti generasi atau zaman. Dalam agama Kristian sekular bermaksud agama itu bertentangan dengan gereja. Untuk pengertian yang lebih jauh sekular merujuk kepada sesuatu yang dimiliki atau yang bersangkutan dengan dunia lahir sahaja dan tidak ada kena mengena dengan keabadian. Dalam perbincangan ini sekular bermakna kehidupan yang tidak ada kaitan dengan perkara ghaib, atau perkara agama. Dengan begitu sekularisme adalah bermakna satu fahaman yang memisahkan agama dari kehidupan ini, khususnya kehidupan bernegara. Ugama adalah masalah peribadi yang tidak mempunyai kaitan dengan negara. Manusia adalah bebas dari asuhan agama dan ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Sekularisme menentang sebarang pengaruh agama dan manusia bebas menentukan kepercayaan dan arah haluan hidupnya sendiri.
Teras kepada sekularisme ialah politik yang berasaskan kepada perkauman atau pun kebangsaan, atau apa yang kita panggil nasionalisma. Manakala ekonominya pula berasaskan laissez faire dan falsafah individualisma.Ia kemudiannya merebak ke dalam masyarakat dan menjadi sebahagian dari gaya hidup mereka yang merupakan pemujaan kepada modenisma, materialisma dan pemujaan hawa nafsu.
Menelusuri sekularime di Malaysia, ia sebenarnya datang bersama-sama penjajah Inggeris yang menakluk negara ini dari tangan Belanda. Dalam Perjanjian Pangkor pada 1874 antara Sultan Abdullah (Sultan Perak) dan Sir Andrew Clarke, syarat penting dalam perjanjian itu ialah residen Inggeris akan menasihati Sultan dalam semua hal pentadbiran negeri kecuali mengenai agama Islam dan adat Istiadat Melayu. Dengan semikian segala urusan pentadbiran dan perlaksanaan undang-undang negeri terserah kepada Inggeris yang pastinya mengikut sistem dan acuan mereka yang tidak pernah memikirkan soal agama dan sebagainya. Di sini para Sultan sudah kehilangan hak politik dan pemerintahan dan tidak lagi berkuasa untuk mencegah usaha-usaha menanamkan fahaman sekular yang dibawa oleh Inggeris. Dan akhirnya berlakulah apa yang dinamakan pemisahan politik dari agama, atau agama dari negara.
Bila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos, 1957 dasar pemisahan di antara agama dan negara itu diteruskan dan dikekalkan dalam bentuk konstitusi iaitu dalam Perlembagaan Persekutuan . Dalam Bahagian 1, ceraian 1,2,3 dan 4, soal agama diserahkan kepada Sultan dan Majlis Agama Islam tiap-tiap negeri manakala soal pemerintahan diserahkan kepada wakil rakyat tidak kira samada Islam dan bukan Islam. Akhirya terpisahlah Islam dari pemerintahan kerajaan Tanah Melayu itu.
Sebagai langkah untuk menguatkan lagi sekularisme, penjajah Inggeris merancang dan telah pun berjaya melahirkan segolongan pemimpin di kalangan Melayu Islam sendiri yang telah disekularkan dengan sistem pendidikan. Golongan ini kemudiannya menjadi pentadbir, perancang negara dan pemimpin yang menjadi agen kepada kesinambungan dasar penjajah itu sendiri.
Golongan ini kemudian berjaya memesongkan akidah dan perjuangan masyarakat Islam di Tanah Melayu, dan mereka seterusnya berjaya menanamkan fahaman sekular itu ke dalam tubuh masyarakat Melayu sehingga orang-orang Melayu yang beragama Islam itu turut memuja fahaman kebendaan dan sesuatu yang berlandaskan hawa nafsu.
Bidang yang paling teruk menerima kesan sekularisasi adalah bidang pendidikan. Ini kerana pendidikan adalah merupakan saluran dan alat terpenting untuk mencorakkan haluan hidup manusia itu sendiri. Stamford Raffles adalah seorang pegawai Inggeris yang bertanggung jawab mengemukakan rancangan halus untuk mencapai matlamat tersebut. Melalui pendidikan beliau merencanakan Singapura sebagai pusat bagi kebangkitan semula peradaban asli kuno dan menyegarkan menerusi penyebaran perluasan pengaruh Inggeris dan faedah-faedah pendidikan dalam kemajuan ekonomi Barat. Beliau telah mengemukakan gagasan pusat Pengajian Asia Tenggara bagi mencapai matlamat ini. Beliau berhasrat untuk melahirkan bangsa-bangsa yang bijaksana dan terpelajar selaku orang suruhan yang jujur kepada sistem pentadbiran penjajah. Ia juga menyarankan supaya pendidikan untuk anak-anak Melayu mestilah menerusi tulisan rumi dalam usaha mengurangkan pengaruh Islam di kalangan orang-orang Melayu.
Selanjutnya perkara yang menjadi perhatian Inggeris ialah bidang ekonomi. Mereka memperkenalkan sistem kapitalis yang mengagungkan riba, jika tidak berasaskan riba sesuatu sistem itu tidak akan dapat dijalankan. Sistem ini berasaskan dasar laissez-faire yang berteraskan kebebasan individu yang hanya mementingkan keuntungan peribadi. Manusia diajak berlumba-lumba untuk mengumpul harta dan kekayaan di mana akhirnya tindas menindas dan tipu menipu turut berlansung dan menjadi amalan masyarakat. Akhirnya manusia menjadi haiwan ekonomi, dan mereka pun memilih cabang-cabang Islam yang hanya sesuai dengan jiwa mereka, dan tidak lagi berfikir untuk menegakkan Islam dan melaksanakan jihad seperti yang dikehendakki Islam.
Demikianlah masyarakat Melayu mula membenci orang-orang yang hidup sederhana, yang tidak menyintai dunia, dan yang mengamalkan sikap zuhud. Segala-galanya dinilai dengan wang ringgit. Masalah negara dilihat penyelesaiannya dari sudut ekonomi, dan bukannya dengan cara yang dikehendakki oleh Islam. Kemudian pada dekad-dekad terakhir lapan puluhan lahirlah Dasar Ekonomi Baru, Amanah Saham Nasional, 30 peratus penyertaan bumiputra dalam sektor perusahaan, Loteri Kebajikan Masyarakat, dan berbagai lagi perkara yang menjurus kepada soal kebendaan semata yang kesemuanya bertentangan dengan prinsip Islam.
Aspek politik adalah yang paling utama menerima kesan dari sekularisme. Perlembagaan Malaysia adalah bukti yang paling jelas dalam hal ini. Ia menafikan kekuasaan Allah, Rasulnya dan AlQuran. Politik dan agama menjadi terpisah.Sedangkan sepertimana yang kita tahu dalam Islam agama dan politik adalah satu.Tidak bercerai berai. Hijrahnya Rasul saw adalah untuk mendirikan negara Islam di Madinah. Ini bermakna Islam dan politik tidak dapat dipisahkan, di mana ia bertentangan sama sekali dengan hakikat perjalanan politik di Malaysia. Politik kita sekarang adalah acuan dari Barat, politik yang mengutamakan nafsu dan kebendaan.
Apabila benda-benda menguasai manusai, maka mereka pun tenggelam dalam suasana hidup yang tidak ada berpedoman, semuanya bertuhankan nafsu. Sebab itulah hidup masyarakat kita hari ini sedang menuju ke arah kehancuran, akibat merebaknya pengaruh sekularisme itu, bahkan ianya dibelai pula oleh pemerintah kita, oleh kerajaan BN, menjadikan orang Islam di Malaysia terlalu individualistik, hidup mementingkan diri, mengejar kemewahan dan sebagainya. Projek-projek membazir sudah menjadi semacam satu pemujaan, semuanya adalah kerana faham kebendaan telah berakar umbi ke dalam jiwa Melayu yang mengaku beragama Islam. Mampukan orang-orang Melayu sorot balik ke belakang? Soalnya terletak kepada orang Melayu sendiri. Namun pengaruh sekularisme bukanlah semudah itu untuk dibuang, apalagi ia telah tertanam ke dalam jiwa dan dijunjung pula oleh kaum pemerintah. Inilah halangan-halangan utama untuk menyebarkan akidah Islam, apalagi untuk memberikan kefahaman tentang negara Islam kerana fahaman itu amat bertentangan dengan jiwa Islam yang murni itu
Dan jika sekiranya kita berminat untuk menegakkan Islam, kita haruslah memerangi fahaman ini yang menjadi halangan utama ke arah merealisasikan cita-cita Islam itu. Bersediakah kita?
Bahaya serangan golongan 'musyakkikin'
Tazkirah
Oleh
TUAN GURU HJ. NIK ABD. AZIZ NIK MAT
GOLONGAN musytasyrikin yang melancarkan perang pemikiran atau perang saraf, telah menyebar dan melariskan dakyah bahawa Islam adalah agama ganas dan jahat. Kempen fitnah terhadap jihad dan Islam menempuh masa yang panjang, sehingga sebahagian kaum muslimin tercari-cari jawapan terhadap tuduhan yang dilemparkan. Sebahagiannya pula telah disebukkan dengan mengadakan perbincangan melalui seminar-seminar bagi menyanggah tuduhan melulu golongan orientalis itu.
Ketika itu lahir pula golongan "musyakkikin" (golongan yang menimbulkan keraguan), kononnya mereka telah mengambil masa yang panjang untuk mengadakan kajian-kajian terhadap Islam. Jika golongan pertama orientalis menganggap Islam agama ganas dan jahat, golongan orientalis kedua pula berpendapat sebaliknya. Pandangan yang bercanggahan itu menyebabkan kalangan kaum muslimin yang berfikiran tidak mendalam, merasa gundah gulana terhadap tuduhan-tuduhan yang mengatakan Islam itu agama ganas dan jahat. Tetapi apabila mereka mendengar tafsiran kedua oleh golongan orientalis juga, mengatakan bahawa Islam itu agama selamat yang menganjurkan persaudaraan serta hormat menghormati sesama insan, maka kaum muslimin yang berfikiran cetek itu bersorak gembira.
Perancangan golongan mesyakkikin itu berjaya mencetuskan suasana tidak yakin dan was-was di dalam hati umat Islam yang berfikiran cetek. Hati dan pemikiran mereka sentiasa dipermainkan oleh golongan yang menimbulkan keraguan. Sepatutnya kaum muslimin tidak goncang terhadap apa jua tuduhan, kerana Islam adalah agama Allah yang paling sempurna.
Allah SWT menurunkan al-Quran dan menetapkan surah-surahnya, surah yang terakhir di dalam susunan mashaf, ialah surah `An-Naas'. Apakah hikmah surah An-Naas ditempatkan sebagai penutup surah? Tujuannya ialah Allah SWT menasihat manusia supaya jangan was-was terhadap surah-surah sebelumnya sebanyak seratus empat belas surah, yang terkandung di dalamnya pelbagai hukum, tazkirah, hidayah, nasihat, ilmu pengetahuan, sejarah, contoh teladan, iktibar dari pelbagai peristiwa silam. Seluruh yang terkandung di dalamnya sebelum daripada surah An-Naas mestilah diyakini sepenuhnya, jangan sedikitpun berdetik di hati rasa was-was.
Was-was adalah penyakit hati, tiada pakar yang mampu mengubatinya, melainkan bergantung sepenuhnya dengan pertolongan Allah SWT. Firman Allah dalam surah An-Naas yang bermaksud: "Katakan (wahai Muhammad): Aku mohon perlindungan kepada Tuhan (Pentarbiyyah) manusia. Raja sekalian manusia. Tuhan sembahan manusia. Dari kejahatan (bisikan) syaitan yang bersembunyi. Yang membisikkan (mewas-waskan) kejahatan ke dalam dada manusia dari jin dan manusia."
Melalui surah An-Nas ini, Allah SWT mengajar manusia supaya bergantung kepada Allah SWT untuk menghindari penyakit tersebut. Sama ada was-was ketika solat dan lain-lain ibadat, was-was terhadap syariat yang terkandung di dalam al-Quran, lebih-lebih lagi was-was dalam persoalan aqidah. Allah SWT mengkehendaki agar manusia yakin seratus peratus, jangan ada bibit-bibit syak atau was-was walau sedikitpun. Jika berlaku juga was-was dalam diri manusia, maka yakinlah bahawa penyakit tersebut jika tidak dari gangguan jin dan iblis, maka ia juga berpunca dari gangguan iblis jenis manusia.
Oleh kerana dalam masyarakat manusia terdapat pelbagai pengaruh, sama ada melalui ucapan atau tulisan yang disiarkan menerusi pelbagai media
Pelbagai anasir telah menggunakan media terutamanya internet untuk menimbulkan keraguan dan was-was di hati manusia. Media begitu bebas menyiarkan pandangan golongan perosak, di antaranya dari golongan anti hadith. Bahkan pandangan golongan anti al-Quran yang terang-terang murtad tetap mendapat liputan dari media. Tidak kurang juga ulasan mengenai isu agama yang dikutip dari kaki
Orang-orang Islam yang cetek pemikiran sememangnya merasa seronok dengan pandangan kedua golongan orientalis yang bertentangan dengan pendapat pertama. Dalam jiwa mereka merasa lega dan menerima baik pendapat golongan kedua serta memberikan sokongan penuh. Mereka sangat marah dengan pendapat pertama, sedangkan kedua-dua puak orientalis saling bekerjasama untuk menimbulkan keraguan dalam jiwa umat Islam dalam bentuk dan
Di kalangan orang awam sememangnya tidak menyedari tujuan sulit gerakan halus golongan musytasyrikin itu. Pemikiran kaum muslimin telah dicelarukan, menyebabkan keyakinan dalam jiwa mereka kian goyah. Justeru itu apa jua program mungkar dibawa masuk dari Barat, hati nurani kebanyakan umat Islam tidak tersentuh. Umat Islam tidak peka apabila barat kemukakan riba dalam sistem ekonomi, Barat eksport budaya kuning ke dalam negara umat Islam pelbagai pesta gila-gilaan. Bukan saja tiada reaksi bersungguh-sungguh dari masyarakat Islam, malah generasi muda mereka yang menyambutnya dengan dada yang kosong dari keyakinan iman. Suasana yang mendukacitakan itu terjadi apabila kecelaruan telah ditanamkan sejak beratus tahun dahulu melalui perang saraf.
Tujuan sebenar golongan ini menggunakan mukadimah dan dengan cara-cara sepenuhnya, agar terhapus fikrah jihad di dalam hati dan jiwa umat Islam. Situasi itu terjadi setelah mereka tidak yakin terhadap Islam, akibat termakan secara bulat-bulat perang saraf yang dilancarkan oleh musuh. Musytasyrikin berkerja keras untuk mematikan semangat jihad dari jiwa umat Islam.
Dr Wahbah Zuhaili menulis dalam bukunya yang berjodol :"Atsarul Harbi fi Fiqhul Islam" (Kesan peperangan dari kacamata fiqh Islam), katanya; perkataan jihad ini telah ditafsir oleh orang Eropah (orientalis) dengan dua tafsiran, yang kedua-duanya bercanggah. Beiau memetik kata-kata dari seorang orientalis yang bernama
Justeru itulah orang Eropah berusaha sungguh-sungguh untuk melariskan fikrah yang bertentangan dengan jihad, iaitu fikrah 'nasah jihad' atau rancangan menghapuskan jihad.
Mereka amat sedar bahawa semangat jihad menjadikan kaum muslimin sebagai suatu umat yang cintakan syahid, tidak gentar menghadapi kematian. Islam mengajar, bahawa orang yang mati syahid itu tetap hidup di sisi Tuhannya dan sentiasa mendapat rezeki dari Allah SWT. Orang mukmin yang gugur syahid dikebumikan dengan pakaiannya yang berlumuran darah, tidak perlu dimandi dan disolatkan. Kerana solat jenazah itu bererti doa, sedangkan kedudukan orang yang mati syahid itu tidak ada doa yang layak baginya.
Firman Allah yang bermaksud: "Maka apabila diturunkan suatu surah yang jelas maksudnya dan disebutkan di dalamnya (perintah) perang, kamu lihat orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya, memendang kepadamu seperti pandangan orang yang pengsan kerana takut mati, dan kecelakaanlah bagi mereka."
(Surah Muhammad ayat 20)
Isnin, 17 November 2008
MENGENALI WATAK DAN SIFAT AKHIR ZAMAN
1. Alat-alat kehidupan sudah canggih.
2. Cara proses makanan sudah berlainan.
3. Ilmu dunianya banyak tapi ilmu Akhiratnya kurang.
4. Pergaulan di kalangan manusia mudah terjadi.
5. Cara jual beli sudah berbeza.
6. Alat-alat perhubungan mendekatkan negara dan manusia di antara satu sama lain.
7. Kebudayaan dan adat istiadat telah bercampur baur.
8. Banyak persatuan.
9. Ada pertubuhan dunia.
10. Ada bank .
11. Ada border antara negara dengan negara.
12. Alat-alat pembunuh dahsyat.
13. Kehidupan orang biasa macam raja-raja di zaman dahulu.
14. Orang kafir, munafik, fasik memperkatakan Islam bahkan mengajarnya.
Untuk lebih terperinci lagi mari kita huraikan satu persatu supaya lebih jelas.
1 . Alat kehidupannya canggih.
Sekarang tidak sama dengan dulu. Sekarang lebih canggih. Ada washing machine, peti ais, mixer, microwaves, blender, pinggan mangkuk arcopal, arcoroc dan sebagainya, cerek letrik, rice cooker, dunlop pillow, dapur gas atau elektrik, air paip, pemotong elektrik dan lain-lain.Dulu secara semula jadi. Uli tepung pakai tangan, basuh baju guna tangan, guna air di perigi, api pelita, menumbuk dengan batu lesung, dulang tembaga, periuk tanah, potong kayu menggunakan gergaji tangan, kapak, pahat dan alat ketam kayu. Memasak menggunakan dapur kayu atau dapur arang. Menumbuk padi menggunakan lesung dan alu. Membajak di ladang pula gunakan kerbau. Tandas sama ada di sungai atau di dalam semak. Ada juga menggunakan tandas yang dikorek lubang seperti perigi dan lain-lain.
2. Sekarang ilmu dunianya banyak, ilmu Akhiratnya kurang.
Dulu ilmu dunia terbatas tapi ilmu Akhirat banyak. Contohnya ilmu tauhid, feqah, tasawuf dan lain-lain. Banyak kitabkitab dan ramai alim ulama. Sekarang ilmu Akhirat kurang tapi ilmu dunianya tidak terbatas. Setiap hari ada saja ilmu-ilmu terbaru, penemuan terbaru seperti ilmu-ilmu di bidang-bidang ekonomi, pertanian, perubatan, sains teknologi, ilmu tentang komputer dan lain-lain. Semuanya sedang berkembang dengan pesat.
3. Cara proses makanan, minuman dan pakaian sudah berlainan daripada dulu.
Dahulu dan sekarang mungkin memang perkaranya sama iaitu benda dan jenisnya tetap sama tetapi mungkin hakikat perkara itu sudah berlainan. Ini disebabkan oleh cara memproses, membuat, memperagakan, mempromosi atau menjualnya sudah berlainan.
Contohnya:
i. Arak, namanya tetap sama. Tetapi arak sekarang tidak sama dengan arak dulu dari segi cara memprosesnya.
ii. Sutera, nama tetap sama. Tetapi sekarang, ada kain sutera sintetik yang telah disintesiskan daripada bahan-bahan yang dicampurkan antara sutera dan bahan-bahan kimia yang lain.
iii. Dulu memproses pakaian secara handcraft tapi sekarang menggunakan alat yang canggih.
iv. Fesyen pakaian dulu dan sekarang juga berbeza. Hari ini banyak bahan-bahan pakaian sudah tidak pasti dari apa jenisnya.
4. Alat-alat perhubungan mendekatkan negara dengan negara dan manusia satu sama lain.
Dulu kenderaannya hanya kuda, unta, baghal, kereta lembu. Sekarang menggunakan keretapi, komuter, bullet train, kereta, bas, kapal, bot laju, kapal terbang dan lain-lain. Perhubungan jalan raya sangat meluas sekarang. Terhubung antara negara dengan negara dan benua dengan benua, jalan kereta api bawah tanah dan sebagainya. Alat-alat perhubungannya canggih. Contohnya, telefon, interkom, tv, komputer, internet dan lain-lain.
5. Pergaulan di kalangan manusia mudah terjadi.
Dulu sangat terhad, pergaulan di kalangan manusia dalam kelompoknya saja. Sekarang ini di peringkat internasional,boleh mengenal manusia berbagai-bagai bangsa dengan macam-macam alat kemudahan yang ada seperti telefon, tv, internet, surat, aerogram, sms, e-mail, media massa, surat khabar, majalah dan lain-lain.
6. Kebudayaan atau adat istiadat sudah bercampur baur.
Dulu ada budaya asli yang tersendiri bagi satu-satu kaum itu. Sekarang budaya sudah bercampur baur, tidak pure lagi. Contohnya, Sekarang ada budaya yang telah dicampuradukkan dengan budaya Barat, India, Pakistan dan sebagainya.
7. Banyak persatuan.
Dulu persatuan berlaku atas dasar hubungan darah daging. Contohnya Bani Quraisy, Bani Umaiyyah dan sebagainya. Kelompok ini berlaku secara nature. Lahir-lahir saja memang berada dalam kelompok itu. Sekarang persatuan berasaskan kepada bukan hubungan darah sahaja bahkan kadang-kadang hubungan kelompok itu berasaskan kebudayaan, ekonomi, politik, kebajikan dan lain-lain. Ikut parti, ideologi, profesyen dan sebagainya. Contohnya: NGO, GAPENA, APEC, IPEC, PAPITA dan sebagainya. Bahkan kadang-kadang hubungan kelompok ini lebih kuat daripada hubungan darah.
8. Ada pertubuhan dunia.
Dulu tidak ada yang bercorak dunia atau peringkat antarabangsa. Sekarang ada, contohnya PBB, OPEC, NATO, UN.
9. Ada bank atau institusi kewangan.
Dulu tidak ada bank. Orang kaya yang jadi bank. Kalau dia orang Islam yang baik, jadilah dia bank kepada masyarakat. Kalau orang bukan Islam atau orang Islam yang tidak ada jiwa Islam, dia akan jadi ceti. Sekarang, bank dijadikan tempat pinjaman yang mana mempunyai syarat-syarat, ada penjamin atau cagaran, ada deposit, mesti tanda tangan macam-macam borang dan lain-lain.
10. Ada sempadan atau border.
Dulu ada negara-negara tertentu seperti Rom, Farsi dan sebagainya. Tetapi tidak ada border antara negara-negara. Tidak perlu menggunakan pasport untuk memasuki manamana negara. Sekarang ada border, ada kastam, ada imigresen, ada visa, ada pasport dan sebagainya.
11. Alat-alat pembunuh dahsyat
Dulu seorang yang ada satu alat senjata boleh bunuh seorang atau dua sahaja. Sekarang menggunakan alat-alat pembunuh yang canggih yang bermacam-macam jenis seperti nuklear, bom atom, jet-jet peluru berpandu dan lain-lain.Ada yang boleh bunuh dari udara, laut, bawah tanah, dari benua ke benua dan sebagainya. Risikonya menyebabkan ramai manusia binasa, memusnahkan bangunan-bangunan, pokok-pokok, harta benda, merosakkan alat-alat perhubungan dan lain-lain.
12. Kehidupan orang biasa sekarang macam raja-raja zaman dahulu.
Kehidupan dulu, raja-raja dikipas. Sekarang rakyat biasa pun merasainya. Petik suis, ada kipas angin, air condition dan lain-lain. Begitulah seterusnya.
13 . Orang kafir, munafik, fasik, memperkatakan Islam bahkan mengajarnya.
Dulu orang yang memperkatakan Islam ini tentulah orang Islam saja. Tapi sekarang, orang yang memperkatakan Islam boleh jadi orang kafir, munafik, fasik, orientalis dan lain-lain. Bahkan mengajar atau jadi pensyarah di universiti-universiti orang Islam di seluruh dunia. Lepasan pengajian Islam kini mendapat ijazah di tangantangan mereka.
14. Cara jual beli atau perniagaan berbeza.
Dahulu secara barter trade, yakni pertukaran barang dengan barang. Kemudian gunakan duit emas, perak. Duit itu memang bernilai. Sekarang duit kertas, kad kredit. Duit itu diberi nilai, bukan duit itu benar-benar bernilai. Ada sistem banking dan sebagainya.
Kalau diperhatikan contoh-contoh tadi, didapati ratusan lagi perbezaan yang nyata antara zaman kita dengan zaman Rasulullah. Sebab itu para pejuang mesti bertindak dengan style yang baru atau cara yang baru berdasarkan perbezaan tadi.
Sebagai alternatifnya, apakah yang umat Islam patut lakukan?
Di antara perkara-perkara yang patut dilakukan ialah:
Pertama :
Dua golongan mesti aktif di tengah kehidupan.
a. Golongan rohani mereka mesti aktif untuk membina atau membangunkan insaniah agar dapat melahirkan manusia yang bertaqwa. b. Golongan teknokrat Selain mereka mesti bertaqwa, mereka mesti aktif membangunkan kemajuan teknikal, teknologi yang tinggi supaya alat kemudahan kehidupan canggih. Ini menjadikan manusia ini selain daripada beriman, berakhlak, bertaqwa, kehidupan mesti canggih dan berteknologi tinggi. Kalau golongan teknokrat saja yang aktif, bijak membuat teknologi tinggi dan sebagainya, semuanya akan jadi sia-sia sebab manusia akan jadi sesat dan fasik tanpa taqwa. Bila umat Islam beriman dan canggih, mudahlah untuk dia menyeru manusia lain. Orang akan hormat dan menerima seruannya.
Kedua :
Dalam memberi fatwa memerlukan dua golongan:
a. Ahli atau pakar hukum
b. Ahli atau pakar sains dan teknologi
Mesti digabungkan pandangan dua golongan ini. Setiap fatwa mesti dinilai yang pertama oleh pakar hukum, kalau boleh bertaraf mujtahidin. Mesti tahu cabang-cabang ilmu Islam yang asas atau furuk, halal atau haram dan sebagainya. Bila dia hendak keluarkan hukum, tidak boleh berdasarkan ilmunya saja. Dia mesti meminta pandangan daripada ahli sains. Mereka saja yang faham perkara-perkara yang hendak dihukum itu dengan tepat setelah dua pandangan itu digabungkan dan diambilkira, barulah hukum yang diputuskan itu tepat halal haramnya.
Contohnya:
i. Arak haram. Nasnya ada. Arak benda yang memabukkan, haram hukumnya. Tapi sekarang ahli sains mengatakan ada alkohol yang tidak memabukkan, ada yang boleh dan ada yang tidak boleh dan sebagainya. Jadi ini semua kena diambil kira oleh pakar hukum. Kalau tidak, mungkin dia akan mengharamkan sesuatu perkara yang tidak haram.
ii. Sutera. Asal haram untuk orang lelaki. Tetapi sekarang ada kain sutera sintetik yang telah disintesiskan daripada bahanbahan yang sudah dicampurkan antara bahan-bahan sutera dengan bahan-bahan kimia yang lain. Dari segi komposisinya sudah berubah. Jadi ulama perlu mengkaji semula dengan mengambil kira pandangan ahli sains untuk menjatuhkan sesuatu fatwa itu.
Ketiga :
Manusia sekarang sangat memburu dunia dan melupakan Akhirat. Perlu ada orang-orang Akhirat yang mempunyai banyak dunia:
a. supaya dia boleh mengingatkan orang itu
b. supaya orang Akhirat yang berjuang ini boleh mencabar orang-orang dunia.
Keempat:
Perempuan-perempuan sekarang bebas kerana memburu dunia. Mereka rasa itulah kemerdekaan, itulah kebahagiaan dan kebaikan. Dengan kebebasan itu mudah mereka itu dapat dunia. Kalau disekat kebebasan mereka di rumah, dirasakan hilang bahagia, hilang kemerdekaan, dunia yang diburu tidak dapat. Untuk membebaskan mereka ini diperlukan perempuan mukmin yang berjaya dalam kerjaya di tengah masyarakat tapi dapat mempertahankan syariat dan maruah mereka sebagai perempuan mukmin.
Kelima :
Memerlukan pejuang-pejuang dan mubaligh-mubaligh yang berada agar tidak bersandar hidup dengan orang lain. Agar bebas bercakap dan orang hormati. Kalau berada atau kaya secara individu pun boleh, lebih-lebih lagi secara jemaah.
Hikmahnya:
a. Supaya tidak terasa terhutang budi dengan orang yang ditarik atau orang yang diseru.
b. Supaya tidak hilang maruah, himmah atau ‘izzah sebagai penegak kebenaran.
c. Supaya dapat berkhidmat kepada masyarakat bukan untuk dapat duit atau komersial, bukan masyarakat yang berkhidmat kepada kita dan lain-lain.
Keenam :
Memerlukan jemaah contoh atau model. Di zaman Rasulullah SAW dan para Sahabat umumnya salafussoleh selama 300 tahun mereka telah berjaya melahirkan model kehidupan Islam. Waktu mereka bercakap tentang Islam, masyarakat Islam sudah tertegak. Tapi sekarang ketika suasana Islam sudah tiada, perlu diwujudkan model oleh sebuah jemaah Islam supaya masyarakat dapat melihat apa yang diperkatakan itu dalam bentuk realiti.
Ketujuh :
Memerlukan media massa dan alat-alat perhubungan yang canggih untuk cepat menyampaikan berita atau matlamat atau ilmu atau propaganda musuh kerana:
a. Dengan adanya media massa yang canggih, maklumat-maklumat, berita-berita, minda-minda Islam dapat disampaikan dengan tepat dan cepat ke seluruh dunia sesuai dengan kelengkapan yang ada sekarang. Kalau ini tidak digunakan, orang lain akan lebih cepat menyampaikan kejahatan dan kebatilan.
b. Zaman sekarang jangkauannya luas. Kita kena gunakan semua kelengkapan itu. Jika tidak kita akan kalah dalam perang dingin, perang fikiran, perang saraf atau perang psikologi. Segala jenis peperangan ini semuanya menggunakan alat-alat yang canggih.
c. Supaya tidak dipermain-mainkan.
d. Supaya tidak dapat disabotaj.
e. Supaya tidak bersandar dengan mereka.
f. Supaya umat Islam tidak dapat dikawal kehidupannya oleh orang bukan Islam tapi boleh mengawal kehidupan mereka sendiri.
Kejumudan pemikiran Muslim kejayaan orientalis
Paling besar makna dan memuaskan mereka ialah kejayaan mempengaruhi pemikiran umat Islam. Jangan terkejut jika golongan yang terpengaruh ini tidak terhad kepada mereka yang agak kebaratan atau tipis semangat keislamannya saja, malah mereka juga datang daripada kalangan yang mendakwa dan didakwa pejuang Islam atau Islamik. Kelompok yang dianggap tinggi ilmu agama, juga tidak terkecuali.
Penulis S Parvez Manzoor, dalam bukunya Method Against Truth: Orientalism and Quranic Studies, menghujah, pengkajian orientalis Barat ke atas al-Quran biar apa pun manfaatnya, lahir daripada kebencian yang dipupuk dalam kekecewaan dan disuburi dengan kesumat.
Trofi hakiki yang dikejar mereka, menurutnya adalah penguasaan terhadap minda Muslim. Barat percaya untuk menyelesaikan masalah ancaman Islam, penganut agama Allah hendaklah dikecewakan berhubung ketentuan risalah Islam seperti yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw. Hanya Muslim yang keliru dengan kesahihan dan autonomi doktrin al-Quran akan mengabaikan misi sejagatnya dan dengan itu tidak mencabar dominasi global Barat.
Perbuatan khianat orientalis Barat terhadap agama dan penganut Islam turut ditonjolkan oleh penulis berbangsa Swiss, Roger Du Pasquier dalam bukunya Unveiling Islam. Beliau percaya kajian orientalis Barat tidak bersandarkan semangat keadilan kesarjanaan yang tulen dan seringkali berniat untuk meremehkan Islam. Walaupun atas sebab yang jelas kecenderungan ini memuncak pada zaman penjajah, katanya, adalah suatu kesilapan jika dianggap ia sudah lenyap tanpa sebarang tanda.
Sebagai pengukur pencapaian orientalis, lihat saja bagaimana kelompok Islam sendiri kini begitu terpengaruh sehingga ketika berfikir secara sedar atau separa sedar, mengikut kaca mata pelbagai musuh Islam. Paling ketara, proses pemikiran mereka sudah diwarnai pelbagai konsep yang direka dan disebarluaskan oleh golongan bukan Islam.
Antara contoh yang paling menonjol ialah isu sekularisme yang menjadi punca perbalahan besar dan polemik berpanjangan di kalangan umat, termasuk di Malaysia. Sejarah menunjukkan sekularisme adalah antara senjata yang diperalatkan oleh orientalis untuk melemahkan umat Islam. Melalui pendekatan ini, pegangan dan penghayatan penganut Islam menjadi longgar lantas mengakibatkan terhakisnya raison d’etre masyarakat Muslim.
Sekularisme lazimnya diertikan sebagai pemisahan antara urusan agama dengan kehidupan duniawi. Menurut Kamus Dewan, sekularisme membawa maksud berkaitan keduniaan, bersifat duniawi dan tidak berkaitan keagamaan.
Dari segi filologinya, perkataan secular berasal daripada bahasa Latin, saeculum yang membawa maksud dunia atau dalam lingkungan masa kini. Jika ditelusuri perkembangan sejarahnya, fahaman sekularisme dikembangkan dengan pemikiran rasionalisme zaman Greek, nilai madani dan kemasyarakatan zaman Greco-Roman, zaman Reformasi, Renaissance, Kalvinisme dan falsafah moral dan empirikal fahaman Enlightenment.
Pada peringkat awalnya, konsep sekularisme banyak dipengaruhi ahli falsafah Greek, khususnya Aristotle, yang mendakwa tuhan tidak mengetahui hal ehwal dunia dan tidak mengawalnya. Will Durant mengembangkan pemikiran ini dengan konsep tuhan yang tidak berupaya.
Sekularisme muncul dan diguna pakai dalam dunia Kristian, sebahagiannya sebagai pemberontakan terhadap autokrasi atau teokrasi kelompok paderi zaman Jahiliah Eropah (European Dark Ages). Berkebetulan, pemikir Eropah mula terpengaruh dengan fahaman rasionalisme. Antara pemikir handalan dalam golongan ini ialah Thomas Paine dengan nukilannya yang berpengaruh, The Age of Reason.
Selepas berjaya menundukkan kelompok paderi dan gereja kristian, fahaman sekularisme mengalami perubahan wajah. Pada abad ke-18, ia didominasi oleh pemikir berfahaman ateis dan agnostic; kelompok pertama menolak sama sekali sebarang fungsi agama dalam urusan kehidupan kerana mereka menafikan konsep ketuhanan itu sendiri; manakala golongan kedua semata-mata mementingkan pencapaian duniawi adalah dalam kawalan manusia.
Pada abad ke-19 dan ke-20, pertembungan berlaku pula antara versi liberal humanisme dengan sosialisme-komunisme. Dengan berakhirnya blok sosialis pada akhir abad ke-20, fahaman liberal humanisme kini unggul dengan dimanifestasikan menerusi dwitunjangnya: kapitalisme pasaran bebas dan demokrasi liberal. Futuris Amerika, Francis Fukuyama adalah antara pemikir yang mendahului fahaman ini.
Jelaslah, sekularisme dari awal kemunculannya sehingga variasi yang mendominasi wacana intelektual kini, adalah binaan ideologi (ideological construct) oleh Barat. Sejarah imperialisme Barat yang bukan sedikit dibantu oleh orientalis yang sesetengahnya juga adalah mubaligh Kristian, jelas menunjukkan sekularisme cukup berkesan sebagai senjata untuk memecahbelahkan ummah.
Oleh kerana sumber konsep ini bukan Islam, tentunya asas pertimbangannya juga tidak bersumberkan al-Quran dan Sunnah. Justeru, amat berbahaya jika konsep yang jelas begitu asing daripada Islam diguna pakai oleh pejuang Islam untuk menilai dan menghukum pemerintah Islam. Lebih-lebih lagi di Malaysia, penilaian secara rasional terhadap pemerintahan negara mengikut syariat Islam menampilkan rekod yang boleh dipertahankan. Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki, negara yang secara terang-terangan mengamalkan dasar mengawal fungsi agama dalam kehidupan awam selepas keruntuhan empayar Othmaniah pada awal kurun lalu.
Anggapan sekularisme bertentangan dengan Islam tidak perlu diragui lagi: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (surah Adz-Dzaariyaat, ayat 56) dan “Katakan (wahai Muhammad): Adakah kamu yang lebih mengetahui atau Allah?” (surah al-Baqarah, ayat 140). Selain itu, banyak lagi firman Allah swt yang menunjukkan sekularisme bercanggah sama sekali dengan Islam.
Dr Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya “Al-Hulul al-Mustawradah wa Kayfa Jaat “alaa Ummatina” (Bagaimana penyelesaian yang Diimport Menjejaskan Ummah Dengan Teruk) menyatakan: “Sekularisme mungkin diterima dalam masyarakat Islam. Kepada masyarakat Muslim, Islam ialah sistem pengabdian (ibadah) dan perundangan (syariah). Penerimaan sekularisme bermakna meninggalkan syariah, penafian petunjuk suci dan penolakan ajaran Allah.”
Di Malaysia, ada asas yang boleh dibina ke arah mengharmonikan segala perundangan dengan tuntutan syariah. Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memaktubkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, adalah bukti pertama pemerintahan negara ini memartabatkan agama Allah. Peruntukan ini mewajarkan Islam dijadikan asas dan panduan, dalam semua cabang pentadbiran negara, sama ada perundangan, pertahanan, pendidikan, kewangan dan hubungan luar.
Dalam bidang perundangan, hendaklah diterima hakikat sejarah bahawa penjajah meninggalkan legasi perundangan sivil yang terpisah daripada sistem syariah. Maka pelaksanaan perundangan Islam terpaksa dilakukan secara berperingkat mengikut kemampuan.
Di pentas global, Islam dengan jelas banyak mempengaruhi dasar dan pendirian Kerajaan Malaysia dalam menangani cabaran yang dilontarkan oleh perkembangan utama dunia, seperti globalisasi, ekonomi pasaran bebas, demokrasi liberal dan hak asasi manusia. Nilai-nilai Islam ternyata mencorakkan pendekatan negara ini, terutama menangani berkaitan gagasan yang kufur dan tidak Islamik.
Zaid Shakir dalam makalahnya, The Changing Face of Secularism and the Islamic Response, menyatakan keunggulan versi liberal fahaman sekularisme sudah memastikan etika bermotifkan keuntungan kini menggantikan etika peninggalan Rasul-rasul dalam dunia niaga. Malah, beliau berpendapat keserakahan mengejar laba adalah rasional bagi beberapa peruntukan yang menindas dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Tarif dan Cukai (GATT) dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Antara lain, ini akan membenarkan firma gergasi transnasional untuk mengisytiharkan sebarang penentangan, bagaimanapun berprinsip, terhadap proses itu sebagai halangan perdagangan.
Hal yang sama berlaku dalam hak asasi manusia. Prof Shad Faruqi, pensyarah undang-undang di Universiti Teknologi Mara (UiTM), berpandangan konsep yang mahu dipaksa oleh Barat ke atas masyarakat lain banyak bertentangan dengan Islam. Antaranya, hak individu berbanding hak masyarakat dan keluarga. Di Barat, seseorang individu bebas untuk mewasiatkan harta kepada sesiapa, hatta binatang peliharaannya, tetapi dalam hukum faraid, harta peninggalan hendaklah dibahagikan kepada waris terdekat mengikut kadar yang ditetapkan.
Walaupun banyak lagi contoh yang ketara berhubung pertembungan nilai Islam dan Barat dalam konsep hak asasi, malangnya, sebilangan umat Islam turut terkeliru dengan konsep yang pada permukaan kelihatan wajar. Hak asasi, demokrasi, globalisasi, liberalisasi, semuanya gah dengan konotasi keadilan, kebebasan dan kesamarataan. Apakah ini benar?
Hakikatnya, jarum musuh Islam sudah begitu menular sehingga umat kehilangan keyakinan diri dan keaslian pemikiran. Paling menakutkan, golongan yang dianggap bersemangat Islam juga secara tidak sedar menjadi alat kepada golongan orientalis dan musuh Islam.
Buktinya, mereka terpaksa bersandarkan idea musuh Islam dalam ketandusan dan kecelaruan pemikiran sendiri. Keadaan ini tentunya cukup malang kerana dewasa ini pertembungan antara agama amnya dan Islam khasnya dengan sekularisme sudah kembali. Sebilangan intelektual Barat sendiri, termasuk Ernest Gellner, mengakui dalam polemik ini Islam adalah pembawa panji-panji untuk golongan yang mempercayai agama. Ini berasaskan hakikat Islam adalah agama yang benar dan normatif yang terakhir.